PUTRAJAYA 31 Jan. - Seramai 87 rakyat Malaysia yang mahu menaiki pesawat EgyptAir untuk pulang ke tanah air terkandas di negara itu sejak tiga hari lalu ekoran perintah berkurung yang dikeluarkan oleh Presiden Mesir, Hosni Mubarak. Perkara itu dimaklumkan oleh seorang penuntut, Nurul Nadiah Md. Zin kepada Utusan Malaysia, yang telah selamat pulang ke tanah air, kelmarin.
Menurut pelajar Universiti of Mansourah itu, keadaan tegang di negara bergolak tersebut dilihat semakin mencemaskan penuntut dan pelancong yang cuba menyelamatkan diri untuk pulang ke Malaysia dengan menggunakan pesawat EgyptAir.
Katanya, dia mengikuti perkembangan rakan-rakannya yang masih terperangkap di Mesir melalui telefon bimbit dan juga melalui blog Krisis Mesir Nasib Pelajar Kita dari semasa ke semasa.
Egypt Air satu-satunya syarikat penerbangan yang dibenarkan membuat penerbangan terus pergi dan balik ke Malaysia. Jadi apabila kejadian tidak dijangka berlaku, kita menjadi mangsa keadaan, saya juga bimbang mengenai rakan yang didakwa terkena tembakan di kaki.
Kata Nurul Nadiah lagi, rakannya ada memberitahu mereka terpaksa menahan lapar apabila hampir kesemua kedai makan dan restoran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah ditutup.
Mereka berasa amat takut dan mahu segera pulang ke Malaysia kerana rusuhan semakin menjadi-jadi. Mereka juga cuba menaiki pesawat lain tetapi kebanyakan syarikat penerbangan antarabangsa itu lebih mengutamakan rakyat sendiri. Mereka amat berharap kerajaan Malaysia segera bertindak untuk membawa mereka pulang dengan selamat.
Menurut Nurul Nadiah, dia sebenarnya telah membeli tiket lebih awal untuk pulang bercuti sempena musim sejuk dan langsung tidak menjangkakan rusuhan buruk akan berlaku di sana.
Saya berasa amat terkejut apabila menonton berita mengenai rusuhan dan beribu-ribu banduan melarikan diri daripada penjara. Menurut rakan saya, perusuh di Mesir sedang menuju ke lapangan terbang, jika tempat itu berjaya ditawan keadaan akan menjadi lebih kritikal untuk rakyat kita keluar dari Mesir.
Tambahnya, rakyat Malaysia yang masih terkandas perlu segera diselamatkan dengan memindahkan mereka ke negara jiran seperti Jordan, Algeria dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
Lagi info di sini, ya.
Sumber. Utusan Malaysia.
No comments:
Post a Comment